Sejarah Kota Lama Duyong

Pada tahun 1919, seorang hakim yang bernama Nik Mohamad bin Nik Hitam dengan gelaran Dato' Biji Sura telah membina kota yang berukuran 400 meter persegi ini dengan bantuan beberapa orang tukang berbangsa Melayu dan Cina Singapura. Kota tersebut siap dibina pada tahun 1920 dengan menggunakan bahan campuran seperti madu, kapur tohor, putih telur, pasir, batu dan sebagainya.

Pelbagai buah rumah tradisional Melayu Terengganu juga dapat dilihat di dalam bangunan tersebut seperti Rumah Bujang Berpeleh, Limas Bungkus dan Limas Belanda. Kelas belajar agama dan mengaji Al-Quran juga pernah diadakan di dalam bangunan ini.

Inisiatif pembinaan semula oleh pihak Kementerian Kebudayaan Dan Kesenian yang dilakukan pada tahun 1996 adalah bagi membaikpulih kota tersebut yang mengalami kerosakan teruk yang berpunca dari air deras banjir yang melanda pada tahun 1986. Projek membaikpulih itu siap pada bulan September 1999 tanpa mengubah rekabentuk asal.[2]